Friday, September 4, 2015

One Shot Film Challenge @ SINAR: Edisi Tanpa Dialog

Selepas cuti Merdeka, saya minta mereka ulang sekali lagi One Shot Film Challenge. Kali ini lebih sukar kerana mereka tidak dibenarkan bersuara dan masa dipendekkan daripada sejam kepada 45 minit sahaja.

Alhamdulillah, mereka berjaya menyiapkan walaupun sebelum itu berasap tasmi' hafazan Quran. :D

Makan


Pandu


Apabila kami review kembali, mereka nampak beberapa ruang untuk penambahbaikan. Antaranya dari segi kamera movement. Filem Makan sepatutnya zoom bila watak terjumpa perkara yang dia tidak sukai dalam makanannya. Kamera pula boleh digoyangkan lagi dalam filem Pandu bagi menguatkan keadaan watak yang mengantuk.

Seperkara lagi adalah aspek bunyi. Saya terlupa beritahu mereka hanya tidak boleh menggunakan dialog tetapi sound effect masih boleh digunakan!

Monday, August 24, 2015

One Shot Film Challenge @ SINAR

Masuk batch ketiga kelas filmmaking di SINAR, saya rombak sepenuhnya silibus. Ada beberapa faktor yang menyumbang kepada keputusan ini antaranya usia pelajar dan juga saya tidak mahu mengulang perkara yang sama. Mengajar pelajar perempuan berumur 16 tahun tentunya tidak sama dengan pelajar lelaki berumur 10 tahun.

Kali ini silibus lebih banyak hands-on supaya mereka boleh meneroka sendiri bakat mereka dan bukannya diarah oleh guru. Peranan saya kali ini lebih sebagai fasilitator berbanding cikgu. Antara latihan yang saya berikan adalah One Shot Film. Saya beri contoh yang simple sahaja. Sebetulnya filem pendek yang saya buat bersama Tuan Hafiz ini memang 'play safe'.

Allah


Saya beri masa sejam sahaja dan saya langsung tidak beri mereka maklumat pada minggu sebelumnya. Jangkaan saya, mereka akan memerlukan lebih banyak masa.
Namun ternyata saya silap, bukan sahaja mereka siap tepat pada masanya malah mereka berjaya memujuk pelajar lain berlakon dan melakukan stunt!





Ikuti hasil mereka, filem Pencuri & Kedai Gunting yang saya upload bulat-bulat dari rakaman dalam kamera. Tiada sebarang editing dilakukan.

Pencuri



Kedai Gunting

U

Friday, May 22, 2015

Filem & Islam Episod 1

Tajuk panjangnya, Seminar Nilai-Nilai Murni Dalam Filem dan Drama Menurut Pandangan Islam. Tapi di sini kita sebut sahaja Filem & Islam. Alhamdulillah, seminar ini telah berlangsung di FINAS pada 21 Mei 2015 menampilkan Tuan Zabidi Mohamed dan Dr. Mohammed Asri Zainal Abidin.



Ucapan alu-aluan diberikan oleh Tuan Nizam Zakaria mewakili PENULIS yang merupakan penganjur bersama. Beliau menyorot kembali letusan fenomena filem Islami di Indonesia. Antaranya Ayat-Ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih, dan Laskar Pelangi.


Lantas pembikin filem dan drama di Malaysia juga mahu ikut serta dalam fenomena ini. Namun persoalannya, adakah benar-benar menepati syariat Islam atau sekadar kosmetik? Apakah benar membawa ajaran Islam atau sekadar menempel cerita-cerita lama dengan kopiah, serban dan tudung?

Tuan Zabidi Mohamed menjadi pembentang pertama dengan kertas kerja beliau bertajuk Cabaran & Pengalaman Dalam Menggarap Skrip Yang Mengangkat Nilai-Nilai Murni Yang Diterima Syariat Islam.

Tuan Zabidi Mohamed (Gambar dari FB rasmi FINAS)
Beliau memulakan pembentangan beliau dengan menekankan bahawa aspek patuh syariah bukanlah segala-galanya. Itu hanyalah salah satu elemen dalam filem Islami. Apa yang penting sekarang adalah memahami bentuk filem Islami, formula terserah kepada pengkarya individu. Setakat ini JAKIM hanya memberikan garis panduan tetapi belum cukup jelas untuk menampakkan bentuk filem Islami.

Tuan Zabidi Mohamed menyenaraikan 12 elemen bentuk filem Islami hasil kajian beliau selama 4 tahun:
  1. Cerdik
  2. Nilai
  3. Tahyul / Khurafat
  4. Sensitiviti Agama
  5. Integriti
  6. Budaya Positif
  7. Kelucahan
  8. Israiliyat
  9. Universal
  10. Plagiarism
  11. Patuh Syariah
  12. Lakonan
Cerdik

Filem yang cerdik tidak memperbodohkan penonton walaupun menceritakan tentang kebodohan dalam karya tersebut.

Nilai

Pastikan filem tersebut mempunyai nilai-nilai positif. Lebih-lebih lagi nilai budaya tempatan seperti taat ibu bapa, hormat-menghormati dan bergotong-royong.

Syirik / Tahyul / Khurafat

Elakkan wujud sebarang elemen syirik, tahyul atau khurafat dalam karya. Syirik adalah menyembah selain daripada Allah atau menyembah sesuatu setaraf dengan Allah. Tahyul pula adalah kepercayaan karut dan pantang-larang yang tidak berasas. Ciri utama khurafat pula adalah pemujaan terhadap makhluk bagi mencapai hajat tertentu.

Sensitiviti Agama

Elakkan menyentuh sensitivti agama atau kaum lain sama ada secara tersurat atau tersirat.

Integriti

Protagonis mesti bermaruah dan mengambil keputusan yang betul. Tuan Zabidi Mohamed mengangkat filem pendek Sitai - Jatidiri Anak Merdeka sebagai contoh. Walaupun protagonisnya adalah seorang budak sekolah rendah, beliau mengambil keputusan untuk mendahulukan keperluan bapanya berbanding dirinya sendiri.

Budaya Positif

Selain daripada menerapkan nilai-nilai positif dan amalan-amalan murni, satu aspek penting lain adalah tidak memasukkan unsur hedonisme yang melampau.

Kelucahan

Panduannya jelas dalam hal ini, tidak harus ada adegan seks dalam karya. Begitu juga tidak ada dialog lucah sama ada secara tersurat atau tersirat melalui frasa-frasa dwimakna.

Israiliyat

Kisah-kisah Israiliyat adalah cerita rekaan sumber Yahudi & Nasrani tetapi dianggap sebagai sebahagian daripada tradisi Islam. Bahaya kebanyakan kisah-kisah seperti ini kerana masyarakat menganggap kisah tersebut selari dengan ajaran Islam tetapi sebenarnya bertentangan.

Mengenalpasti kisah-kisah Israiliyat agak sukar kerana sudah sebati dalam masyarakat dan memerlukan pengetahuan yang luas serta mendalam. Tambahan pula ada tiga kategori kisah Israiliyat

Pembahagian Israiliyat:
I. Dibenarkan oleh Islam kerana tidak bercanggah dengan ajaran Islam
II. Diingkari oleh Islam kerana bercanggah dengan ajaran Islam
III. Tidak dibenarkan dan tidak juga diingkari oleh Islam

Universal / Kesejagatan

Karya tidak semestinya secara spesifik mengangkat ajaran daripada hadis atau Quran. Apa yang penting mesej yang dibawa dapat diterima semua bangsa dan agama serta audiens dapat memanfaatkannya.

Plagiarism

Kita boleh menghasilkan karya yang ‘inspired by’ tetapi jangan sekali-kali meniru bulat-bulat karya orang lain.


Patuh Syariah

Terdapat tiga komponen patuh syariah iaitu:
1. Aqidah
2. Akhlaq
3. Syariah

Aqidah

Aqidah yang dipaparkan harus sejajar dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Jangan mengandungi aqidah lain seperti Syiah dan lain-lain ajaran yang menyimpang.

Akhlaq

Bagi aspek ini jangan menunjukkan perlakuan yang melampau seperti memaki-hamun dan menengking-nengking.

Syariah

Terdapat dua perkara yang perlu diberi perhatian iaitu aurat dan muhrim.

Muhrim

Dalam perkara ini harus dielakkan pelakon bukan muhrim berpegang tangan atau bersentuhan.

Aurat

Terdapat empat situasi

1. Pelakon yang di luar bertudung tetapi berlakon tidak bertudung – ini tidak baik dan tidak seharusnya berlaku
2. Pelakon yang di luar bertudung dan berlakon bertudung – ini yang sebaiknya
3. Pelakon yang di luar tidak bertudung dan berlakon tidak bertudung – ini dibenarkan
4. Pelakon yang di luar tidak bertudung dan berlakon bertudung – ini lebih baik berbanding situasi ketiga.

Lakonan

Pelakon Muslim tidak harus memaparkan adegan yang bertentangan dengan aqidah Islam seperti menyembah berhala, memakai salib dan yang sewaktu dengannya.




Kesimpulannya, filem Islami harus mengambil kesemua elemen ini secara keseluruhan. Bukannya menyempitkan fikiran terhadap elemen patuh syariah semata-mata.

--

Nantikan seterusnya catatan dari pembentangan Dr. MAZA dan sesi forum.

Friday, April 3, 2015

Tips DIY 1: Reflector

Peralatan DIY untuk filmmaking yang saya fikir semua orang ada ialah sunscreen kereta. Biasanya kita letak setelah parking supaya kereta tidak menjadi panas. Namun kegunaan lain adalah sebagai alat bantuan pencahayaan semasa penggambaran. Sebaiknya gunakan sunscreen tanpa sebarang corak dan warna yang reflektif.

Cara penggunaan
Tanpa reflector

Dengan reflector
 Perbezaannya agak ketara; warna lebih hidup dan kontras. Cahaya juga lebih sekata dan membantu fokus kamera. Imej juga menjadi lebih 3D dan tidak 'flat'.


Friday, February 6, 2015

Mengapa Ajar Filmmaking di Sekolah Agama?

Alhamdulillah, saya diberikan peluang oleh Ustaz Rohidzir Rais untuk mengadakan kelas filmmaking di Sekolah Islam Nur al-Azhar. Bunyinya agak janggal pada awalnya kerana itu bukanlah perkara biasa. Selalunya aktiviti ko-kurikulum di sekolah agama adalah kelas nasyid yang sewaktu dengannya.

Bila kita sebut tentang muslim atau mukmin professional selalunya kita terbayang para doktor, jurutera, arkitek, dan peguam. Jarang kita membayangkan mukmin professional sebagai pengarah filem, komposer, wartawan dan profesion media yang lainnya.

Kita tidak boleh terus jadi konsumer media semata-mata dan harus menjadi produser. Media terlalu berpengaruh untuk dibiarkan dalam genggaman orang-orang yang jahil (dan buat-buat jahil) agama. Tetapi orang agama dan beragama tidak boleh terjun dalam dunia media tapi menguasai kemahiran media. Sesuci mana pun niat di hati video yang buruk tetap tidak akan ditonton.



Oleh itu, anak-anak di SINAR didedahkan dengan skill filmmaking lebih awal. Hasrat kami ialah mereka dapat dibekalkan skill asas tanpa perlu membuang masa bertahun-tahun mencari sendiri. Apabila sudah ada skill asas ini mereka dapat mempraktikkannya dan menjadi jauh lebih hebat berbanding guru mereka ini. (Khabarnya Ustaz Rohidzir juga akan menurunkan ilmu teater beliau)

Berikut adalah topik-topik yang akan dipelajari sepanjang 2 melalui kelas mingguan:
  1. Filmmaking Component & Process Overview
  2. Story
  3. Refining Story & Pre-Production
  4. Photography I - Exposure
  5. Photography II - Framing & Angle
  6. Videography - Basic Shots & Camera Movements
  7. Sound Recording & Editing
  8. Video Editing
Mencari dan belajar sendiri, saya menghabiskan masa lebih 2 tahun untuk mendapatkan skill asas ini. Semoga mereka cepat menguasainya dan mula berkarya!

Monday, December 1, 2014

Keyboard Warrior


Bila disebut keyboard warrior, banyak muncul konotasi negatif. Terbayang para blogger anonymous yang kerjanya komplen dan fitnah orang. Cakap sahaja banyak tapi apa pun tak buat.

Tapi dalam zaman sekarang, sekurang-kurangnya keyboard warrior bukanlah pengguna internet pasif seperti touchscreen zombies. Keyboard warrior ada juga hasilkan sesuatu dan tidak telan sahaja apa yang orang lain siarkan di Internet.

Hasil kajian terbaru Google mendapati 35% rakyat Malaysia bergantung kepada smartphone semata-mata untuk akses internet. Dengan jumlah pengguna internet seramai 25 juta, ternyata kita ada ramai rakyat yang bertpotensi menjadi touchscreen zombie!

Wednesday, October 8, 2014

Nota Filmmaking Episod 11

Apa itu One Shot Film?

One Shot Film adalah filem di mana hanya anda tekan butang rakam sekali dan stop sekali. Tiada pause dibenarkan dan tiada editing dibenarkan. Filem itu mesti datang sepenuhnya daripada kamera. Tiada had masa tetapi lebih panjang filem lebih sukar untuk dilakukan.

Nampak seperti sangat mengongkong tetapi latihan ini sebenarnya memaksa anda untuk fokus kepada perkara paling penting iaitu cerita. Bukannya kepada gimik dan efek serta perkara-perkara sampingan yang lain. 


Ini adalah sebahagian nota daripada Bengkel Filmmaking di Perpustakaan Taman Tun Dr. Ismail pada 13 Mac 2014 kendalian Razeef Mohd (UiTM) & Mustafa Davis. Ikuti nota lengkap di sini.